Rentetan dan Penilaian Peristiwa Pembunuhan J.W.W Birch

January 10, 2010
Oleh

Sejarah Melayu membuktikan bahawa campur tangan Inggeris di negeri-negeri tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka banyak dicetuskan oleh masalah dalaman negeri-negeri tanah Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, masalah yang berlaku di negeri Perak adalah disebabkan oleh kesilapan Raja Abdullah yang mengundang Inggeris ke Perak akibat perbalahan merebut takhta Sultan dengan Raja Bendahara Raja Ismail.

Lahirnya pejuang bangsa Melayu di Perak (di sini penulis menggunakan perkataan ‘pejuang’ daripada ‘penentang’) seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan Sultan Abdullah sendiri berlaku setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874.

Ada beberapa pendapat menyatakan bahawa Sultan Abdullah dan pengikutnya tidak layak diiktiraf sebagai pejuang bangsa ekoran daripada kesilapan mereka sendiri yang mengundang campur tangan Inggeris ke Perak. Sama ada pendapat tersebut betul atau tidak, hanya pembaca sahaja yang boleh menilai dan mentaksirkan daripada cerita yang berlaku sehinggalah pembunuhan J.W.W Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Pembunuhan J.W.W Birch di Pasir Salak

birch1

J.W.W Birch

Pembunuhan J.W.W Birch adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan pembesar negeri terhadap tindak-tanduk Birch. Birch telah menggunakan kedudukannya sebagai Residen Inggeris di Perak dengan meminta Sultan Abdullah menandatangani pengisytiharan untuk membolehkannya mengambil alih kuasa kerja-kerja mengutip cukai daripada pembesar-pembesar Perak tetapi telah ditolak oleh Sultan Abdullah.

Pada 20hb Julai 1875, J.W.W Birch sekali lagi mendesak Sultan Abdullah menurunkan tandatangannya dan mengugut Sultan akan diturunkan daripada takhta seandainya baginda enggan menandatangani surat penyerahan kuasa tersebut. Akibatnya Sultan Abdullah terpaksa akur dengan ugutan Birch dan menandatangani surat perjanjian tersebut.

Rentetan daripada peristiwa itu, sebanyak 7 kali mesyuarat sulit telah diadakan oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah dengan orang-orang besarnya bagi membincangkan perihal pembunuhan J.W.W Birch yang diadakan dari bulan Mac hingga September 1875.

dato_sagor_01

Gambar dari kiri Dato' Maharaja Lela, Sultan Abdullah dan Dato' Sagor (sumber gambar: Amir Hamidi)

Dalam mesyuarat sulit tersebut, sebanyak 5 cara telah dicadangkan. Laksamana Mohamad Amin telah mencadangkan Birch diracun, Dato’ Maharaja Lela pula mencadangkan Birch ditikam, Dato’ Sagor pula mencadangkan menyerang Bandar Baru dan membunuh Birch, dan Sultan Abdullah sendiri mencadangkan agar Birch disihir.

Dalam mesyuarat terakhir yang berlangsung di rumah Dato’ Maharaja Lela, pada 30hb Oktober 1875, satu keputusan muktamad telah dicapai untuk membunuh Birch di Pasir Salak. Dato’ Maharaja Lela yang diberi kuasa membunuh Birch telah menganugerahkan baju, tengkolok dan pedang kepada Pandak Indut sebagai wakilnya untuk membunuh Birch.

dato_sagor_02

Sultan Abdullah bersama-sama dengan JWW Birch, Raja Chulan (di atas riba Birch), Dato’ Laksamana, Swettenham dan Dato’ Syahbandar. Dato’ Sagor (bulatan) berdiri di belakang Sultan Abdullah. Gambar ini diambil di Bandar Bahru pada 1875. Sumber gambar: Amir Hamidi.

Saat J.W.W Birch dibunuh di Pasir Salak

J.W.W Birch dibunuh ketika sedang mandi di atas rakit berdekatan perahunya. Birch ketika itu baru balik dari lawatannya di Pasir Salak untuk melihat kerja-kerja menampal poster pengisytiharan Inggeris mengambil alih pungutan cukai, dan bercadang untuk bermalam dalam perahu sebelum pulang ke Bandar Baru pada keesokkan hari.

Pandak Indut telah diarahkan oleh Dato’ Maharaja Lela merejam lembing ke arah tempat Birch mandi. Rejaman tersebut menyebabkan Birch jatuh ke dalam sungai. Birch yang masih bernyawa berenang ke darat meminta pertolongan dan pada ketika itulah Si Puntum menerpa dan menetak kepala Birch dengan parang panjangnya. Mayat Birch ditemui pada petang keesokkan harinya, sejauh 182.9 meter dari tempat kejadian.

Kematian Birch telah menyebabkan Inggeris berang dan melancarkan perang besar-besaran terhadap orang-orang Melayu Perak dengan tujuan untuk menangkap pembunuh J.W.W Birch. Pasukan polis, tentera dan tentera laut Inggeris di bawah pimpinan Kapten Speedy telah mengepung perairan Perak. Rumah-rumah orang Melayu yang disyaki telah dibakar, kota pertahanan orang-orang Melayu di Batak Rabit telah diserang habis-habisan dan akhirnya ditawan. Askar-askar Inggeris terus mara di sepanjang Sungai Perak dan membunuh tanpa belas kasihan. Sungguhpun kekurangan senjata dan taktik peperangan, orang-orang Melayu Perak masih mampu melawan serangan Inggeris seperti yang berlaku di Kota Lama. Peperangan ini telah berlarutan sehingga tahun 1876 dan berakhir setelah semua yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan J.W.W Birch ditangkap dan dibicarakan.

Asal-usul campur tangan Inggeris di Perak

Dipetik dari Wikipedia bahasa Melayu.

Hal ini bermula akibat daripada perselisihan merebut takhta kerajaan ekoran kemangkatan Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah, Sultan Perak ke-24 yang mangkat di Sayong pada tahun 1871. Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai Sultan tetapi baginda enggan berbuat demikian. Ini telah menyebabkan jenazah Almarhum Sultan Ali tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masalah ini Raja Bendahara Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan.

180px-Abdullah

Raja Abdullah berpakaian ala Inggeris. Sumber gambar: wikipedia.

Akibat daripada peristiwa tersebut, berlakulah perselisihan faham yang berlarutan antara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Di samping itu juga, terdapat pula pergaduhan besar dan sikap bermusuhan antara dua buah kongsi gelap pelombong-pelombong Cina, iaitu Ghee Hin dan Hai San di sekitar Kelian Puah dan Kelian Baharu dan berlarutan hingga ke negeri-negeri lain. Peperangan telah berlaku di sepanjang tahun 1861- 1862 dan 1871-1874.

Pergaduhan dan perselisihan faham bagi merebut takhta kerajaan ini telah digunakan sepenuhnya oleh pihak Inggeris untuk mencampuri urusan dalaman negeri Perak supaya kepentingan mereka tidak terjejas dan kekayaan negeri Perak dapat dieksplotasi sepenuhnya bagi menampung keperluan ekonomi negara ibunda mereka.

Dengan kepintaran siasah dan ilmu penjajahan yang telah berkurun dipelajari, Inggeris telah berjaya memerangkap Raja Abdullah dan beberapa orang besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Wakil-wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San juga turut hadir bagi membalas jasa Inggeris yang telah banyak berbudi kepada mereka. Maka, pada 20 Februari 1874 berlakulah satu detik sejarah yang tidak akan dilupakan oleh orang-orang Melayu Perak dan seluruh Semenanjung Tanah Melayu dengan termeterinya satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Pangkor.

Kejayaan Inggeris dalam babak pertama dalam siri penjajahan mereka di Tanah Melayu ini telah menjatuhkan martabat kuasa mutlak raja-raja Melayu terhadap tanah air mereka sendiri dengan hanya menjadi sultan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran dan ekonomi dalam negeri diserah bulat-bulat kepada budi bicara Residen Inggeris yang secara langsung diberi tanggungjawab oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat untuk melaksanakan rancangan pembangunan raksaksa sistem Residen.

Perjanjian Pangkor dan pelaksanaan sistem Residen ini pada dasarnya telah dapat meredakan seketika persengketaan antara golongan-golongan yang bersengketa di negeri Perak. Dengan bersenjatakan Perjanjian Pangkor, Inggeris beranggapan bahawa perjanjian ini akan dipatuhi oleh semua pihak dan tidak akan ditentang oleh orang-orang Melayu yang selama ini dianggap mudah dikotak-katikkan.

Orang-orang besar Perak dan Sultan Abdullah sendiri akhirnya menyedari akan kesilapan mereka menandatangani Perjanjian Pangkor yang secara langsung mengetepikan hak tradisi mereka dalam urusan kutipan cukai dan menguasai hasil mahsul dalam jajahan masing-masing. Akhirnya mereka telah mengambil jalan singkat dengan membunuh J.W.W Birch dan pengiring-pengiringnya di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Sebelum kedatangan J.W.W. Birch, pembesar-pembesar Melayu telah berpecah tiga kerana merebutkan takhta berikutan kemangkatan Sultan Ali ibni Sultan Shahabuddin Riayat Shah, Sultan Perak ke-24 (1865-1871), tetapi tidaklah sampai merosakkan negeri Perak yang amat kaya dengan bijih timah itu. Kehadiran lelaki Inggeris, bertubuh kurus, bermisai melenting, berwajah bengis, berambut kerinting sebagai Residen Inggeris pertama Perak pada bulan Januari 1874 telah merubah landskap situasi politik dan pemerintahan di Perak.

J.W.W Birch merupakan seorang Residen yang paling angkuh, suka memperlekeh dan merendah-rendahkan kedaulatan Perak telah menerbitkan api dendam yang membara di dalam dada orang-orang besar Perak, sehinggakan terbit gerakan sulit untuk membunuh J.W.W Birch.

Tambahan dan kesimpulan

Campur tangan Inggeris di negeri Perak bukan sahaja dicetuskan oleh Sultan Abdullah bahkan dicetuskan oleh salah satu kongsi gelap pelombong Cina di Perak bernama Ghee Hin.

Menurut sumber dari buku “The Golden Chersonese and The Way Thither” (diterbitkan pada tahun 1892 oleh G.P Putnam dan anak-anak), Raja Abdullah telah meminta pertolongan rakannya di Singapura, Tan Kim Ching untuk merangka surat kepada Gabenor Sir Andrew Clarke, meminta pertolongan campur tangan Inggeris di Perak. Begitu juga dengan kongsi gelap Ghee Hin yang mengutus surat meminta pertolongan daripada pihak Inggeris.

Rentetan campur tangan Inggeris menyebabkan Perak terpaksa menerima seorang Residen British, iaitu J.W.W Birch. Akibat daripada tindak-tanduk dan keangkuhan Birch serta ekoran daripada Perjanjian Pangkor, Sultan Abdullah dan pengikut-pengikutnya bangkit menentang Inggeris di Perak sehinggalah membawa kepada pembunuhan Birch.

Pembesar-pembesar Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch akhirnya ditangkap setelah mereka menyerah diri. Ramai antara mereka yang dihukum gantung dan dibuang negeri, diasingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi termasuklah Sultan Abdullah.

Artikel di atas juga berkongsi sumber daripada Wikipedia Bahasa Melayu.

Maklumat lain yang mungkin anda minati dan untuk perbincangan..

  1. Kenapakah Sultan Abdullah tidak datang untuk ditabalkan semasa mangkatnya Sultan Ali? Ada pendapat mengatakan bahawa baginda malu untuk ke Istana akibat daripada masalah isteri baginda yang lari.
  2. Isu gambar Sultan Abdullah berpakaian Inggeris (gambar atas) juga menambahkan rasa tidak puas hati pihak yang menganggap Sultan Abdullah bersongkol dengan pihak Inggeris.
  3. Persengketaan Sultan Abdullah dengan J.W.W Birch juga mungkin disebabkan oleh perangai Birch yang suka mengacau perempuan Melayu dan membawa lari salah seorang gundik baginda.
  4. Sultan Abdullah Muhammad II

Nota:

Penulis menulis berdasarkan fakta daripada lawatan penulis ke Pasir Salak, pemerhatian daripada bacaan dan rujukan buku sejarah serta internet. Penulis meminta maaf jika terdapat sebarang salah dan silap sepanjang penulisan artikel di atas, dan tidak akan bertanggung jawab atas artikel yang dicedok dan diguna pakai untuk rujukan semula.

Share

Artikel sama yang berkaitan

  1. Rentetan Kisah dan Perang Melaka yang Berlarutan Sambungan dari artikel – Kejatuhan Empayar Melaka. Pertarungan sengit berlaku diantara kedua belah pihak dan akhirnya Portugis...

Pautan: ,

Komen dari FB:

24 maklum balas daripada Rentetan dan Penilaian Peristiwa Pembunuhan J.W.W Birch

  1. avatar
    Anak Waris on January 15, 2010 at 8:24 pm

    Sejarah telah membuktikan bahawa Inggeris banyak mencampuri dan mempengaruhi corak pemerintahan beraja di negeri-negeri Tanah Melayu.

  2. avatar
    Tam on February 3, 2010 at 10:29 am

    pembunuhan x dpt menyelesaikan masalah…ianya hanyalah akan menimbulkan lebih banyak masalah..berfikirlah dengan wajar sebelum membuat sesuatu keputusan…thanks for this article…

    • avatar
      fakhira on July 19, 2011 at 8:45 pm

      betul tu

    • avatar
      amnd on July 22, 2011 at 9:08 am

      berfikirlah dulu sebelum memberi komen…

      britih hanya menulis catatan melayu bunuh inggeris, tetapi bagaimana dengan inggeris bunuh melayu..

      sedarlah..mereka penjajah, nak jajah agama, minda dan ekonomi..sebab tu zaman nabi dulu ada perang. Korang kalau buta sejarah tak payah nak bagi komen kat sini..buat malu je

      • avatar
        faizal on November 11, 2011 at 2:38 pm

        …setuju.

  3. avatar
    Anak Waris on February 4, 2010 at 12:24 am

    Terlajak perahu boleh diundur,
    Terlajak kata buruk padahnya,

    Kalau terlajak perbuatan.. tanggung la akibatnya.. tak gitu.. :)

  4. avatar
    abusyakirin on February 4, 2010 at 3:01 pm

    terlajak baca izinkan nak copy ke blog hamba

    • avatar
      Anak Waris on February 5, 2010 at 6:31 am

      Silakan..:) Jangan lupa ‘link back’ to Resam Melayu.

  5. avatar
    farid on March 26, 2010 at 12:41 pm

    jika ada masalah, kita sendiri yang selesaikan.
    tak perlu panggil orang luar.
    syabas kepada pejuang pasir salak.

  6. avatar
    cucukampar on May 4, 2010 at 10:37 am

    Pembesar-pembesar Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch akhirnya ditangkap setelah mereka menyerah diri. Ramai antara mereka yang dihukum gantung dan dibuang negeri, diasingkan di Pulau Seychelles di Lautan Hindi termasuklah Sultan Abdullah …….Ada sesiapa yang ada info tak tentang siapa dan bila mereka dibuang daerah ke pulau Seychelles?

  7. avatar
    sabrina on July 3, 2010 at 9:47 pm

    betul tu..pdn muke kene bunuh…(^_^)sape suruh jahat sngt!!!!!!!!!

  8. avatar
    jagat on August 29, 2010 at 9:43 pm

    mereka ni lah sepatutnya pejuang2 bangsa yang harus disanjung,bukannya dianggap sbgai pemberontak,jangan kita terkejut jika suatu hari nanti ada di antara anakcucu bekas penjajah datang mengkaji tentang pejuang2 kita dahulu yang kita sendiri menganggap mereka ini sebagai pembrontak,

    • avatar
      faizal on November 11, 2011 at 2:40 pm

      …biasalah penjajah…pejuang saja dilabel pemberontak. Yg sedih rakyat dinegara ini boleh mengiyakan apa saja yg dikatakan oleh puak berhidung tinggi itu.

  9. avatar
    PASIR SALAK on October 2, 2010 at 1:47 am

    Kita mesti faham bahawa pada zaman itu orang Melayu tidak didedahkan kepada undang-undang bertulis (undang-undang British). Saya bukan dari jurusan undang-undang, tetapi Perjanjian Pangkor mungkin perjanjian bertulis yang pertama yang membolehkan British dengan secara rasminya boleh memasuki Perak.

    Jadi, pahlawan Melayu yang selalu terdedah dengan peperangan pada masa itu mungkin tidak tahu yang membunuh itu salah dari segi undang-undang. Oleh itu mereka telah bertindak ke atas JWW Birch. Kalau tuan-tuan baca dengan detail perjuangan mereka, sebenarnya pengorbanan mereka terlalu besar kepada raja dan tanahair. Pembunuhan Birch mungkin hanya 5% dari sejarah Pasir Salak. Saya mengesyorkan tuan-tuan membaca buku-buku kajian sejarah Pasir Salak. Ya, saya juga dari Pasir Salak walaupun bukanlah golongan bangsawan raja dan pahlawan. Pahlawan-pahlawan seperti Dato Maharajalela, Dato Sagor, Siputum, Ngah Jabor dll mematuhi 100% arahan sultan dan sanggup menggadai nyawa demi perjuangan bangsa dan tanahair.

    Ya, memang membunuh itu salah tetapi pada masa itu adalah masa “transition” dari tiada undang-undang kepada mempunyai perundangan. Sejak itulah undang-undang bertulis menjadi penting dan hingga hari ini “Kedaulatan Undang-Undang” diamalkan dalam Rukunegara.

    Walaupun saya bukan dari golongan bangsawan, tetapi saya berpendapat bahawa orang Melayu perlu sentiasa berkorban atau sekurang-kurangnya patuh pada arahan sultan, kerana ia tonggak negara.

    Saya juga dulu pernah diberitahu oleh orang-orang lama (sekarang dah takda), bahawa pahlawan2 tersebut tidak mati dihukum gantung tetapi orang lain yang dihukum gantung. Mereka telah lari ke Pahang. Betul atau tidak, saya tak pasti.

    • avatar
      Anak Waris on February 16, 2011 at 11:40 pm

      Banyak versi cerita.. Jika ada yang lebih sahih, tidak mengapa. Hanya sekadar berkongsi dan pembuka minda bahawa pentingnya anak bangsa belajar dari semangat pejuang dahulu.

  10. avatar
    awangjala on November 17, 2010 at 12:34 pm

    Kebanyakan “fakta” dalam artikel ini, tidak sebut asal-usulnya. Umpama: (1)7 kali mesyaurat sulit untuk membunuh Birch. Apa buktinya dan siapa yang menyatakan? (2)Cara Birch dibunuh. Darimana datangnya “cerita”? Mandi di perahu?
    Sudah pasti ada berbagai fakta yang timbul dalam kes perbicaraan Abdullah. Mengapa tidak rujuk? Ada juga buku yang dikarang oleh penolong Birch dan berada di tempat yang sama beberapa jam sebelum peristiwa ini. Beliau ia-lah Frank Swettenham. Buku ini harus dibaca untuk semua orang dapat perspective dalam peristiwa ini. Peranan dan kewibawaan tiap seoroang harus dikaji dengan teliti seblum beliau diangkat menjadi hero.

    • avatar
      Anak Waris on February 16, 2011 at 11:47 pm

      Terima kasih. Memang ada sedikit percanggahan dari sumber lain. Saya masih belum ketemu buku karangan Frank Swettenham tersebut. InsyaAllah nanti saya akan rujuk dan perbetulkan fakta terbaru jika ada.

  11. avatar
    rex on January 25, 2011 at 3:59 pm

    great article…

  12. avatar
    angelina on February 10, 2011 at 9:38 pm

    Perebutan takhta hanya akan merugikan diri sendiri…jadikanlah perkara ini sbg 1 pengajaran yg penting dan bermakna…T.Q. utk artikel ini.

  13. avatar
    Fa on February 14, 2011 at 12:18 pm

    Salam saudara resam melayu… saya ingin bertanya, dari mana saudara memperolehi gambar yang mengumpulkan dato sagor, raja abdullah dan birch. Menurut pihak muzium matang, gambar2 pahlawan pada masa itu telah dimusnah british yang tidak mahu mereka dikenali. mohon penjelesan.

    Fariza

    • avatar
      Anak Waris on February 16, 2011 at 11:45 pm

      Sumber gambar boleh didapati dari laman lain di dalam carian google. Memang Birch yang berada di dalam gambar bersama-sama Raja, orang Perak dan Frank Swettenham.

  14. avatar
    anak jambi on May 20, 2011 at 4:43 pm

    salah sikit info boleh di pebetolkan,janji leh terima teguran.usaha cari lagi isi sejarah

  15. avatar
    MAJEZAN YAACOB on December 8, 2011 at 8:45 pm

    tentang sikap Raja Abdullah yang kerap meminta kopi,gula,duit dan candu dari Birch pula macam mana kita nak komen?Ini dari catatan journal harian Birch!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Langgan Percuma Artikel Terkini

Masukkan alamat email anda:

Dibawa oleh FeedBurner